KL Drift 2 menjadi
 
 

<strong>ANTARA babak menyayat hati dipaparkan dalam KL Drift 2.</strong>

<strong>SAM dan Aaron memberikan lakonan memberangsangkan.</strong>

ANTARA babak menyayat hati dipaparkan dalam KL Drift 2.

Sarat dengan aksi, adegan suspen

JIKA anda penggemar filem bercorak lasak atau aksi perlumbaan kereta, Evolusi KL Drift 2 tentu sekali judul yang tepat untuk ditonton. Ia mempunyai rencah yang baik untuk berada satu tangga di atas dalam kategori filem aksi perlumbaan kereta. Tidak keterlaluan, ia antara filem terbaik dalam genrenya, pernah dihasilkan di negara ini.

Keputusan Skop Production dan Primeworks Studios untuk berbelanja lebih ketika menghasilkan filem ini keputusan yang dikira berbaloi. Pengarahnya, Syamsul Yusof, membuktikan pada usia muda sekalipun, jika kesungguhan untuk menghasilkan kecemerlangan tersemat di dada, hasil yang baik dapat dituai juga. Babak kejar mengejar kereta, terutama di tengah-tengah bandar raya, memang menjadi. Saat deruman kuat daripada enjin kereta kedengaran, detik beberapa kereta dengan lajunya saling berkejaran, waktu itu dada turut kencang berdebar. Syamsul dengan bantuan pengarah fotografinya, Omar Ismail, mampu merakam detik cemas itu dengan mengagumkan.

Babak aksi juga banyak dihidangkan menerusi kisah susulan Evolusi KL Drift yang menemui penonton dua tahun lalu itu. Penerbitnya tidak kedekut dengan babak lasak sedemikian, walaupun ia bermakna kos yang lebih juga harus dikeluarkan. Nyata, penonton mendapat kepuasan maksimum setiap kali adegan perlumbaan penuh suspen itu ditayangkan.

Evolusi KL Drift 2 masih mengekalkan beberapa watak utama daripada filem awal untuk terus menyambung kisahnya. Zack (Syamsul) masih berlumba drift, tetapi kini secara profesional. Manakala Sham (Farid Kamil) pula berasakan dirinya tersisih akibat kecacatan dialaminya. Ketika yang sama, muncul Aleeya (Scha Alyahya), wanita muda yang turut berlumba dan kini bersahabat baik dengan Zack.

Di kem yang lain, Joe (Aaron Aziz) yang terselamat daripada kemalangan ngeri bersekongkol dengan Ery (Shaheizy Sam) untuk menguasai perniagaan dadah di ibu kota. Bagaimanapun, masing-masing mendendami Zack dan memburunya hingga ke garis penamat. Inspektor Kamal (Remy Ishak) pula berusaha menjejaki Joe menggunakan Zack dan rakannya.
Pada ketika pujian harus diberikan kepada aspek arahan aksi, filem ketiga Syamsul ini juga berjaya menampilkan beberapa pelakon yang cemerlang di layar lebar.

Shaheizy Sam umpamanya, begitu meyakinkan sebagai orang kanan Joe yang mendendami Zack, apabila pemuda itu dianggap penyebab rakannya, Karl, dipenjarakan. Cara dia meluahkan dialog, emosi yang dipaparkan pada wajah, serta bahasa tubuh yang ditunjukkan, saling melengkapi untuk meletakkan Sam paling atas dari segi persembahan. Maka tidak hairanlah sekiranya jejaka berbakat ini terus mendapat peluang muncul dalam pelbagai judul filem.

Gandingannya bersama Aaron begitu menyeronokkan untuk ditonton. Kedua-duanya jahat, tetapi berbeza karakter. Jika Joe di tangan Aaron tampak lebih terkawal, Ery pula dilihat tidak mempunyai kesabaran dan lebih ganas. Tunggu saja babak mereka membelasah Aleeya dan Sham. Saat itu, mereka yang berada dalam panggung akan menutup mulut, tidak menyangka mereka berdua sanggup melakukan kejahatan hingga ke tahap sedemikian.

Scha sebagai gadis agak kasar, tetapi sebenarnya menyimpan rasa pada Zack dikira tidak menghampakan. Pelakon muda ini sanggup dihempuk ditendang, bagi memastikan wataknya benar-benar berkesan. Banyak lagi ruang lakon yang mesti dicuba aktres ini, bagi memperluaskan keupayaan.

Syamsul, Rizal Ashraf dan Buzen pula perlu mengurangkan jeritan ketika menuturkan dialog. Suara mereka agak nyaring, membuatkan telinga penonton jadi sakit. Apatah lagi apabila dialog yang dituturkan kurang menarik.

Sebagai penulis skrip, Syamsul harus lebih bijak dalam memilih ayat untuk diucapkan pelakonnya. Walaupun sudah cuba menggunakan bahasa lebih selamba, tetapi isinya juga perlu diberikan perhatian. Buat apalah diperbanyakkan dialog seandainya impak tidak begitu dirasa?

Lebih baik sekiranya Syamsul mengurangkan babak pertuturan, sebaliknya lebih menekankan kepada emosi atau perasaan. Mainkan sudut kamera yang mampu memaparkan pergolakan perasaan wataknya, tanpa perlu si pelakon memperjelaskan apa yang dirasa.

Begitu juga babak yang memaparkan Aleeya tiba-tiba meluahkan perasaan sebenarnya kepada Zack. Babak itu umpama anti-klimaks. Ia berlaku sebaik saja mereka terlepas daripada buruan si penjahat dalam babak kejar-mengejar yang dirasakan paling hebat. Babak cinta itu memperlahankan kembali rentak pantas yang mula dirasa peminat.

Alangkah baiknya jika luahan cinta itu dilakukan saja dalam kereta, saat mereka berdua masih bertengkar. Biarkan saja si Aleeya menjerit, dia sebenarnya menyelamatkan Zack kerana lelaki itu bermakna dalam hidupnya. Biarkan dia berbuat begitu saat Zack masih marah kerana berasakan Aleeya mengkhianati dirinya.

Amat difahami apabila banyak babak berdialog dimasukkan Syamsul ke dalam filem ini, adalah untuk mengimbangi elemen aksinya. Kononnya dia ingin menyuntik emosi dalam filem aksi berkenaan. Namun, tanpa dialog berjela sekalipun, jika kena dengan bahasa visualnya, penonton masih memahami apa yang dirasa.

Begitupun, Evolusi KL Drift 2 tetap sebuah filem yang menghiburkan. Aksi mantap perlumbaan serta lakonan hebat si penjahat, pasti meledakkan panggung buat ke sekian kalinya. Filem ini akan mula diputarkan di kira-kira 80 pawagam termasuk Brunei dan Singapura, mulai 25 Mac.